Pages

PETER Schmeichel Puji Aksi David de Gea

PETER Schmeichel memuji aksi memberangsangkan penjaga gol muda Manchester United, David de Gea dalam membantu kelab itu melebarkan penguasaan di persada Liga Perdana Inggeris (EPL) kepada lima mata di depan pesaing terdekat, Manchester City.


Bekas penjaga gol dan legenda Manchester United itu menyifatkan De Gea semakin matang dan mula menunjukkan kemampuan sebenar pada setiap aksi kelab itu.

“Selepas saya tiada, United mengambil masa agak lama mendapatkan pengganti (penjaga gol) hinggalah Edwin Van Der Sar muncul.

“Saya mengikuti perkembangan De Gea dan sejak kebelakangan ini peningkatannya cukup ketara, semua orang menyaksikannya. Dia masih muda dan mampu pergi lebih jauh bersama United,” katanya ketika ditemui dalam program kunjungan bersama Courts Malaysia (Courts) di Setapak, semalam. Sejak 1 April lalu, Schmeichel dilantik sebagai Duta Jenama untuk Courts Malaysia dan Singapura. Untuk itu, Schmeichel terbabit secara langsung dalam program pemasaran Courts, termasuk melalui pelayaran media Internet.

Menyentuh prestasi bekas kelabnya, Schmeichel yakin United akan bangkit daripada kekecewaan Liga Europa dengan memenangi Liga Perdana Inggeris.

“Saingan sudah hampir ke penghujung, saya percaya Sir Alex Ferguson ada percaturan tersendiri untuk mengungguli takhta EPL sekali lagi. “Ia musim yang cukup hebat melihat saingan sesama jiran, United dan Manchester City bagi merebut kejuaraan liga musim ini,” katanya. Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Courts, Terry O’Connor yakin kerjasama bersama Schmeichel akan menjadi bonus dan tarikan kepada peminat bola sepak tempatan. Schmeichel hari ini akan muncul di Singapura sempena meraikan ulang tahun Courts ke-38 di sana.

0 comments: